Akaun Facebook bernama "A Fly Guy's
Cabin Crew Lounge" itu, yang memberi ruang kepada petugas penerbangan
dari serata dunia untuk membina rangkaian serta berkongsi kisah dan
foto, kini menjadi saluran untuk menyampaikan ucapan takziah dan simpati
kepada anak kapal MH17 yang terkorban dalam nahas itu.
MH17 sedang dalam penerbangan dari
Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine,
berhampiran sempadan Rusia pada Khamis. Pesawat Boeing 777 itu membawa
298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal. Pihak berkuasa Ukraine
mendakwa pesawat itu ditembak jatuh.
Satu catatan bertajuk "Letters of Love
to Malaysia Airlines" memuat naik 151 foto sebagai "sebuah album yang
mengandungi warkah cinta dan sokongan daripada warga syarikat
penerbangan dari seluruh dunia".
"Sejak beberapa hari lepas, pesawat
penumpang dari seluruh dunia berlepas ke udara dengan hati yang amat
berat. Sesuatu bencana udara tidak hanya menejejaskan syarikat
penerbangan terbabit, tetapi juga menjejaskan semangat kami semua. Kami
disatukan oleh penerbangan dan petugas syarikat penerbangan dari seluruh
dunia berharap saudara kami di Malaysia Airlines tahu bahawa kami
berdiri teguh di belakang mereka," kata penulis catatan itu.
Antra penghormatan yang dirakamkan
datang daripada seorang anak kapal Air France, yang berbunyi: "Semoga
anda semua dibawa terbang dengan sayap malaikat."
Seorang anak kapal Egypt Air pula
menulis begini: "Bersemadilah dengan tenang, Petugas Penerbangan Tidak
Mati, Mereka Hanya Terbang Lebih Tinggi."
Seorang anak kapal Brussels Airlines pula menulis: "MH17, doa kami mengiringi anda."
Ini pula catatan seorang anak kapal Tame Airlines: "Anda sekali-kali tidak akan dilupakan, MH17. Selama-lamanya di hati kami."
Seorang anak kapal American Airlines
menulis begini: "100,000 warga American Airlines mengingati penumpang
dan anak kapal MH17. Bersemadilah dengan tenang."
Antara mereka yang membuat catatan di
laman Facebook sejurus selepas berita tentang nahas itu berlaku ialah
Ineke Muller dari Belanda, dengan tulisannya: "Ya Tuhan, saya kena
terbang ke KL esok, tapi saya sungguh sedih. Saya semacam tidak boleh
percaya perkara ini berlaku ...saya tinggal di Amsterdam...sungguh sedih
sekali!"
Seorang rakyat Malaysia, yang hanya
dikenali sebagai Robert Leong pula berkata seboleh-bolehnya, dia
menggunakan MAS untuk ke mana sahaja. "Malah, saya baru sahaja
menggunakan penerbangan HK-KL-HK (Hong Kong-Kuala Lumpur-Hong Kong) dua
hari lepas dan akan berbuat begitu sekali lagi, dengan MAS, pada 5 Ogos
... Tabahkanlah hati, selalulah berlapang dada dan terus mara ke hadapan
MAS. Saya akan sentiasa menyokong anda...".
Chris Wi, dari syarikat penerbangan
Jerman Lufthansa, pula menulis: "Satu tragedi yang amat dahsyat hingga
hampir sukar menemui perkataan yang boleh menggambarkan dengan tepat
betapa pilunya hati kami di Lufthansa.
"Sepanjang hampir 10 tahun lepas, saya
sering terbang dari BKK (Bangkok) ke FRA (Frankfurt) dan selalunya, saya
berbuat begitu dengan MAS - Satu pelukan semangat untuk semua saudaraku
di dunia penerbangan di MH," katanya.
Peramugari Emirates, Jayde Read pula
menulis: "RIP, MH370 dan kini MH17. Saya bersimpati dengan semua
penumpang, anak kapal, keluarga dan rakan yang terjejas pada saat-saat
yang memilukan ini.
"Saya seperti tidak boleh menerima
hakikat perkara ini boleh terjadi, lebih-lebih lagi kepada Malaysia
Airlines, yang ditimpa tragedi dalam tempoh yang begitu rapat. Suatu
perkara yang amat mengejutkan dunia. Saya bertugas sebagai anak kapal
dengan Emirates dan saya teramat sedih, walaupun saya tak mengenali
seorang pun dalam penerbangan itu, namun saya tidak dapat berhenti
daripada memikirkannya," tulis beliau.
Wanita itu seterusnya berkata sudah
banyak bencana berlaku di dunia, dan sekarang, ini pula menimpa mereka
yang tidak bersalah akibat apa yang dilihat sebagai suatu kesilapan
besar manusia, yang tidak sepatutnya berlaku.
"Ia amat memilukan....Saya utuskan perasaan kasih sayang dan ingatan saya kepada semua yang terjejas," katanya.
Darsie Barker Chase dari Southwest
Airlines, Amerika pula berkata kebanyakan anak kapal memulakan kerjaya
mereka ketika masing-masing masih muda, dan "sebahagian besar daripada
kami menyangka ia suatu cara yang menyeronokkan untuk melihat dunia,
namun selepas itu kami segera menyedari bahawa kami bukan sahaja
mendapat pekerjaan, tetapi juga sebuah keluarga.
"Apbila sesuatu perkara berlaku kepada
seseorang daripada kami, tidak kira daripada syarikat penerbangan mana,
ia menyedihkan kami dan apabila mendapat tahu bahawa perkara itu
dilakukan dengan sengaja, maka kepedihan dan kerisauan yang dialami
tidak mampu kami bayangkan. Mangsanya dianggap seperti saudara kandung
kami sendiri. Semoga Tuhan melimpahi rahmat ke atasmu Malaysia," tulis
wanita itu.
Akaun "A Fly Guy's Cabin Crew Lounge"
itu juga memuatkan gambar pramugari MH17 Angeline Premila Rajandran, 30,
dan Shazanah Salleh, 31. Angeline dikatakan anak kapal paling muda
dalam penerbangan itu dan seorang yang sentiasa ceria serta baik hati,
manakala Shazanah pula disifatkan sebagai seorang wanita bersemangat
tinggi dan memiliki senyuman yang memikat.


0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !